Sunday, December 26, 2010

Allah Mengasihi Kita..kenapa Kita Tidak Boleh MengasihiNya??

Bunga yang kembang dan cantik itu jarang yang wangi... begitulah juga orang yang cantik; kebanyakannya jarang berbudi.

Apabila si gadis dipuji dengan kata-kata, "Awak ni cantiklah," maka akan menguntumlah sekuntum senyuman dibibirnya dan berbungalah hatinya. Tersipu-sipulah ia.

Ah... siapa yang tidak seronok bila dikatakan cantik dan lawa? Begitulah resam manusia, seronok bila dipuji kecewa bila dikeji.

Tetapi lain halnya bagi si mukmin yang merasa dirinya miskin dengan Tuhannya. Terasa kerdil tatkala berhadapan dengan pujian dan sanjungan manusia. Wanita yang cantik selalu ditimpa 'perasan' kerana sedar dirinya punya kelebihan.

Kata orang, wanita cantik banyak mahunya. Diri rasa bangga, seisi dunia mahu digenggamnya. Kalau ia seorang gadis dirinya sanggup menjadi tukaran dengan wang yang beribu. Ada pula yang rela menjadi andartu. Hidup liar bak merpati, senang didekat dan ditangkap lari.

Jika dia seorang isteri yang sedar dan bangga dengan kecantikkannya maka suamilah yang menjadi mangsa. Si suami selalu melutut dan kalah dengan kehendak dan karenahnya. Lebih malang jika si suami pula suka akan kecantikan isterinya. Ia menyayangi isteri atas dasar kecantikannya.

Jadilah suami laksana lembu yang dicucuk hidungnya. Ke mana diarah di situlah perginya, alangkah dayusnya dia. Si isteri yang cantik rupawan akan merajuk dan meragam seandai kemahuannya tidak tercapai, mengugut, merajuk hendak balik kampung atau minta cerai.

Alangkah indahnya jika si isteri tadi, kecantikannya digunakan untuk meniup semangat jihad ke lubuk hati mujahidin. Ketahuilah, keutamaan dan nilai diri seorang wanita sama ada cantik atau tidak adalah pada akhlaknya.

Andai dia seorang isteri, ketaatannya pada suami adalah akhlak yang indah. Wanita yang cantik tetapi tidak berbudi pekerti tinggi, lebih-lebih lagi isteri yang cantik yang derhaka pada suami adalah ibarat bunga raya. Cantik warnanya, harumnya tiada.

Sebaliknya wanita yang kurang cantik tetapi berakhlak mulia, taat suaminya, sentiasa mencari keredhaan-Nya, ibarat bunga cempaka. Tiada rupa tetapi harumnya memikat jiwa.

Antara bunga raya dan bunga cempaka pastilah cempaka diminati orang.

Kasihan si bunga raya, tidak dijual atau dipakai orang. Ibarat gadis murahan yang mempertontonkan kecantikan. Konon nanti ada yang berkenan tetapi tidak sedar diri jadi mainan.

Wanita yang kurang cantik pula jika tidak berakhlak akan meyakitkan hati dan mata. Ibarat bunga yang tidak cantik tidak pula harum dan wangi. Maka tiadalah apa-apa tarikan dan keindahan padanya.

Usah bangga dan usah pula risau akan paras rupa untuk merebut kasih sayang manusia. Tetapi marilah berlumba-lumba untuk menjadi wanita yang bertaqwa dan berakhlak mulia. Nescaya disayangi Allah serta makhluk-makhluk-Nya.

Seharusnya diri yang dikurniakan Allah dengan nikmat kecantikan sentiasa resah jiwanya. Bukan kerana takut luput kurniaan itu dari dirinya. Bukan jua kerana ada yang iri hati dan mahu menganiayai atau menandingi kejelitaannya. Resah adalah kerana menghitung pahala-pahala yang tinggal akibat pujian dan sanjungan manusia yang bakal menjerumuskan dirinya ke jurang neraka.

Mengira-ngira bagaimana untuk meruntuhkan gunung mazmumah (sikap negatif) akibat dari kecantikan diri yang dijulang bagaikan mahkota. Apa lagi jika kecantikan itu hidangan setiap insan, cantik indah tetapi hina terdedah. Menjadi mainan nafsu dan syaitan.

Bersyukur dengan segala nikmat Tuhan. Baik buruk,cantik hodoh itu adalah pemberi-Nya.Yang berwajah cantik atau hodoh sama-sama perlukan persediaan. Akan tiba saatnya jua di mana yang berwajah cantik indah dikerumuni oleh cacing dan ditimbusi tanah di liang lahad yang gelap lagi sunyi.

Tatkala itu bersandinglah manusia dengan kematian. Apakah baru di kala itu mahu diucapkan nikmat iman dan Islam itulah sebesar-besar pemberian Tuhan? Baru sanggup berjuang, berkorban apa saja demi mendapatkannya? Sebelum segala-galanya terlewat sama-samalah kita daki anak-anak tangga menuju ke puncak taubat.

Asal manusia dari setitis mani yang hina. Sehina itulah pula dirimu wahai wanita. Kenangilah nasib diri di hari penghisaban. Segala pinjaman Tuhan itu, untuk apa digunakan. Lunakkan hati, tenangkan perasaan. Lihatlah ke seluruh penjuru alam. Di mana saja mata menjurus di sana ada tanda keagungan Tuhan.

Dongakkan kepala ke langit biru, tundukkan wajah ke bumi yang hijau. Saksikanlah kilauan mentari, percikan cahaya bulan dan bintang. Langit yang dijadikan-Nya tidak bertiang, gunung-ganang tidak berpancang. Usah terlena dibuai keindahan, sesungguhnya pada segalanya itu terkandung pengajaran:

"Dan apa sahaja nikmat yang ada padamu dari Allahlah datangnya, dan bila kamu ditimpa kemudaratan maka hanya pada-Nyalah kamu meminta pertolongan." (Surah An-Nahl: 5)

Cinta Itu Luas dan Kadang-kadang ia di depan kita Tanpa Kita Sedari

Cinta menepati satu angka dari perangkaan fitrah manusia. Tanpa nilai cinta yang berdefinisi sebagai cetusan rasa dari orbit naluri ke arah mengenali satu objek dengan penghayatan hakikat dan kewujudannya akan mengganggu fitrah manusia.

Kesenian cinta yang didasari runtunan fitrah tanpa dicabul oleh hawa syahwat merupakan logo kedamaian, keamanan dan ketenangan. Namun cinta seringkali diperalatkan untuk melangsaikan keghairahan nafsu dan kebejadan iblis laknatullah. Demi kemakmuran manusia sejagat , kita mesti menangani fenomena cinta dengan nilai fikrah yang suci dan iman yang komited kepada Allah swt.

"Sesiapa yang ingin mendapatkan kemanisan iman maka hendaklah ia mengasihi seseorang kerana Allah swt." (Hadis Riwayat Ahmad)

Marhalah Amal Islami (Lihat Nazarat fi Risalatul Taalim oleh Muhammad Abdullah Khatib m/s 229)

1. Pembentukan peribadi muslim
2. Pembinaan rumahtangga muslim
3. Membimbing masyarakat menuju Ilahi
4. Membebaskan tanahair dari belenggu penjajahan kuasa kuffar
5. Memulihkan kerajaan dari sampukan thoghut
6. Penguasaan alam

(Seringkali isu kegagalan rumahtangga di perkatakan sehingga ia memberi kesan buruk kepada pasangan yang akan berkahwin . Dapat disaksikan di negara - negara barat apabila muda mudi mulai bosan dengan perkahwinan lantas mengamalkan free sex .)

Rumahtangga yang berjaya ialah yang memiliki suasana asas sebagaimana yang disebut oleh Allah dalam firman-Nya dalam surah Ar-Rum ayat ke-21 :

"Dan diantara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untuk mu isteri-isteri dari jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu tanda-tanda bagi kaum yang berfikir ."

Pendakian ke puncak amal Islami iaitu Ustaziatul Alam(Penguasaan Alam) mestilah melalui beberapa marhalah dan aqabah. Bait muslim (rumahtangga Islam) sebagai marhalah kedua merupakan aqabah yang sukar didaki dengan penuh jaya dan gemilang. Ketabahan , kesabaran dan kebijaksanaan antara prinsip untuk berjaya .

Rumahtangga pejuang Islam

Aktivis gerakan Islam (samaada pihak suami atau isteri) sewajarnya memandang serius urusan mengenderai rumahtangga muslim agar ia tidak menjadi sebab gugurnya seorang aktivis. Penegasan ini dibuat memandangkan keaktifan pejuang memungkinkan rumahtangga terabai, sedang rumahtangga muslim adalah markaz terbaik untuk pengkaderan generasi akan datang yang bernaung di bawah lembayung Al-Quran dan jihad.

Kedua dua pihak (pasangan suami isteri) mesti memahami penglibatan aktifnya dalam gerakan Islam tanpa ia sendiri turut memahami bahawa rumahtangga muslim adalah salah satu agenda gerakan Islam; mencetuskan ketegangan atau kehambaran dalam hidup berumahtangga.

Kebijaksanaan menyusun program menurut prioriti mampu menyelamatkan keadaan. Suatu nokhtah penting yang memerlukan sebuah keinsafan bersama, bahawa rumahtangga yang gagal dan hambar adalah antara jalan rentas menuju ke garis penamat bagi episod perjuangan seorang aktivis .

Tips cinta untuk suami

* Bersikap baik dan lembut dengan isteri
* Menjaga kehormatan rumahtangga dan tidak terburu menerima fitnah
* Jangan sekali - kali memukul isteri dan penuhi keinginannya dengan baik
* Bersabar terhadap karenah isteri
* Mengendali nafkah dengan ( tidak bakhil dan boros )
* Bergurau senda dengan anak dan isteri ( berkasih sayang dan mesra )
* Membantu tugas - tugas isteri dirumah
* Jujur dan menepati janji dengan anak dan isteri
* Bertanggungjawab dalam memimpin rumahtangga
* Tidak bermesra dengan wanita lain
* Menjaga rahsia isteri
* Tidak merendah - rendahkan isteri di hadapan orang lain
* Tidak makan hasil kerja isteri

Tips cinta untuk isteri

* Berterima kasih diatas pemberian suami dan senantiasa mengenang jasanya walaupun kecil .
* Segera memenuhi permintaan suami
* Bertindak diatas keizinan suami , jangan sekali kali mengangkat suara
* Pastikan suami tidak menemui sesuatu yang buruk pada isteri
* Pastikan suami tidak mencium melainkan bau yang wangi
* Jaga hartanya dengan sebaik - baik tadbir
* Jaga maruahnya dengan sebaik - baik taqdir
* Jangan mengingkari suami dan merahsiakan sesuatu daripadanya
* Membantu urusan perjuangannya
* Berkhidmat ikhlas dan aktif untuk ketenangan suami
* Berlembut apabila dimarahi dan senyum apabila digembirakan
* Mengekalkan sifat malu terhadap suami dan bijak menutur kata dihadapannya
* Menghormati keluarga suami
* Menjaga rahsia suami

Tips cinta untuk kedua suami isteri

* Persefahaman
* Taawun ( bekerjasama )
* Wujudkan suasana romantis
* Atasi bebanan kerja
* Kepuasan seks
* Elakkan sikap suka mengkritik pasangan
* Saling percaya mempercayai diantara satu sama lain
* Menghayati amal Islami
* Kebijaksanaan mentadbir dan menyelesaikan masaalah rumahtangga